Tuesday, December 12, 2023

Padang atau perlawanan akhir lebih menarik?

Masalah Padang stadium yang tidak sempurna…


Isu masalah padang sebuah stadium di negara ini masih menjadi bualan masyarakat walaupun sudah hampir seminggu berlalu perlawanan akhir itu. Mungkin atas alasan perlawanan itu mempunyai lintas langsung telah menyebabkan isu ini menjadi lebih besar kerana lebih ramai pihak boleh melihat dengan mata mereka sendiri kualiti padang yang disediakan untuk perlawanan akhir itu. 


Ya, sememangnya pihak media massa dan pengurusan stadium terbabit telah mengeluarkan pelbagai laporan dan kenyataan tetapi menyaksikan sendiri keadaan padang di televisyen pastinya memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat Malaysia. Pelbagai komen kedengaran ketika perlawanan itu berlangsung.


Jadi, persoalannya ialah mengapakah keadaan padang menjadi sebegini? Ya, ada pihak menyalahkan penganjuran satu konsert sebelum perlawanan itu. Konsert itu dikatakan telah menyebabkan keadaan padang menjadi teruk. Kemudian jarak masa antara konsert dan perlawanan akhir itu agak dekat lalu tidak sempat untuk memulihkan keadaan padang itu. 


Persoalan-persoalan di atas bukan sahaja tidak menjawab pertanyaan yang menjurus pada masalah padang tetapi turut menyebabkan timbulnya persoalan lain terutama mengenai kemampuan pihak yang menguruskan stadium itu untuk menjaga situasi padang itu. Katakanlah konsert itu sudah ditentukan jadualnya sudah pasti pihak pengurusan sudah menjangka atau membuat ramalan mengenai keadaan padang yang akan berlaku selepas konsert itu. Pemikiran sebegini pastinya akan menyebabkan pelbagai tindakan susulan perlu dilakukan bersama-sama langkah kecemasan yang boleh diambil untuk memastikan keadaan padang itu.


Situasi padang yang berlaku perlu diberi perhatian oleh semua. Kita tidak seharusnya membiarkan masalah ini berulang pada masa depan (tetapi penulis yakin pada masa depan peristiwa yang sama akan berulang di stadium yang sama dan berbeza) kerana masyarakat kita masih belum sedar bahawa untuk menguruskan organisasi, syarikat dan apa-apa di dunia ini memerlukan ketua yang benar-benar mahir  dalam bidang tertentu itu dan ketua atau pemimpin perlu bertanggungjawab apabila sesuatu perkara buruk berlaku. 


Persoalannya apakah perkara sebegini akan dibiarkan berterusan pada tahun hadapan? Atau kita lebih suka membahaskan keadaan padang daripada membahaskan prestasi dua pasukan yang berjaya layak ke perlawanan akhir itu.

Padang atau perlawanan akhir lebih menarik?

Masalah Padang stadium yang tidak sempurna… Isu masalah padang sebuah stadium di negara ini masih menjadi bualan masyarakat walaupun sudah h...