Wednesday, January 27, 2021

Membaca novel memberi motivasi

Salah seorang penulis yang sering saya baca novelnya ialah Haruki Murakami. Saya meminati karyanya kerana beliau apabila menulis seolah-olah menulis penuh dengan mistik, keajaiban dan juga fantasi yang membuatkan pembaca seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri. Buku-bukunya boleh membaca pembaca untuk meneroka alam yang jauh berbeza daripada realiti kehidupan ini. Coretannya pasti menyentuh mengenai pasta, kucing dan kesunyian hidup yang dialami oleh watak bersama-sama rahsia kehidupan yang turut dikongsi oleh setiap insan di dunia ini.



Mungkin ada pembaca halaman ini mengetahui Murakami menerusi buku-bukunya terutama Norwegian Wood dan Kafka on the Shore.Namun, buku beliau yang saya ingin ketengahkan di sini bertajuk What I Talk Abaout When I Talk About Running. Buku ini merupakan pengalaman beliau ketika bersedia untuk melibatkan diri dalam satu larian marathn di Amerika Syarikat. Beliau mencoretkan pengalamannya berlatih dan pemikirannya terutamanya motivasi di sebalik larian rutin yang dilakukannya itu. Bukan mudah untuk menamatkan larian sejauh 5km atau 21 km atau 42 km itu. Minda dan fizikal perlu bersepadu untuk mengharungi keletihan, kehausan dan paling penting kemampuan untuk menamatkan larian.


Karya beliau ini memberikan ingatan semula kepada saya yang suatu masa dahulu begitu meminati acara marathon. Ya, saya pernah menamatkan lebih daripada 10 larian marathon 42km dan berpuluh-puluh acara 21km ketika saya masih muda. Saya sering menjelajah Malaysia terutama di Pulau Pinang, Seremban dan Kuala Lumpur untuk menyertai acara marathon itu. Saya gunakan acara marathon ini sebagai satu kaedah untuk mengubat kesedihan yang melanda ekoran kematian ayah saya pada masa itu.


Lantaran itu, apabila saya membaca buku ini saya mula menyedari bahawa semua yang saya lakukan pada masa itu seolah-olah turut dilakukan oleh Murakami. Buku ini mengaitkan hubungan insan dengan acara lariannya tetapi turut mengandungi ungkapan-ungkapan yang berkisar tentang kehidupan, kekuatan mental dan sebagainya. Larian seolah-olah menjadi kaedah untuk seseorang menukar dirinya menjadi insan yang lain, jauh lebih baik daripada dahulu.


Jika anda mahu menamatkan acara marathon sama ada larian 5km, 10km, 21km atau 42km, inilah buku yang perlu anda baca kerana penulisanhya memberikan banyak faedah kepada minda dan fizikal seseorang terutama jika anda suka membaca dan berlari pada masa yang sama.


Saturday, January 23, 2021

Antara virus dan membeli komputer riba atau makanan

Antara virus dan membeli komputer riba atau makanan


Aktiviti pembelajaran secara online sudah bermula di sekolah smeula dengan lebih menyeluruh. Ada yang melihatnya baik dan ada juga yang melihatnya sebagai tidak berkesan. Pada saya, kita perlu berubah ke arah penggunaan teknologi terutama jika teknologi itu mampu untuk menjadikan kehidupan harian manusia lebih baik dan dalam kes ini kehidupan pelajar lebih baik berbanding sebelum ini.


Saya juga terlibat dalam bidang pendidikan. Jadi, saya berpendapat sedikit sebanyak masalah yang saya ketengahkan ini turut mampu memberikan pencerahan kepada semua bahawa negara ini akan mempunyai satu kelompok generasi muda yang tidak menerima pendidikan yang sempurna untuk beberapa bulan atau mungkin setahun lagi. (virus covid-19 ini sudah setahun usianya di Malaysia ketika artikel ini ditulis)


Masalah yang paling ketara ialah liputan teknologi internet yang agak terhad. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa kawasan bandar mempunyai liputan yang baik tetapi ada juga pelajar saya yang tinggal di Kuala Lumpur meluahkan rasa sukarnya mereka untuk memperoleh rangkaian internet yang stabil ketika di rumah. Pelajar di kawasan pedalaman pasti ketara mengalami masalah ini terutama jika kita membaca liputan akhbar tempatan. Kemungkin faktor gelombang jalur lebar mereka yang tidak stabil atau cukup kuat untuk melihat siaran video guru-guru itu membawa kemelut ini berlaku. Begitu juga dengan masalah nota. Kebanyakan bahan pendidikan disediakan lalu diberikan kepada pelajar tetapi ada pelajar yang tidak mampu membuat salinan lalu mereka hanya menyalin jawapan sahaja di kertas kosong ketika mendengar penerangan guru.


Ada juga pelajar yang tidak mempunyai peralatan yang cukup untuk mendengar penerangan guru secara online ini. Mereka tidak mampu untuk membeli komputer riba atau tablet atau phone untuk memudahkan urusan kelas online. Kemelut pengangguran yang melanda keluarga mereka akibat virus ini telah menyebabkan bebanan membeli peralatan sebegini menjadi satu perkara yang besar kepada mereka selain memastikan ahli keluarga mempunyai makanan setiap hari. Malah, peralatan kelas online ini bukanlah murah kerana semuanya menelan kos ratusan atau ribuan ringgit.


Ada juga ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk menyediakan satu situasi yang kondusif untuk pembelajaran online anak mereka. Persoalan kekurangan pengetahuan untuk membeli komputer riba, tablet dan melanggan Internet turut berlaku kerana bukan semua ibu bapa mempunyai kemahiran yang mendalam tentang teknologi ini. Kekeliruan sebegini boleh menyebabkan kegagalan untuk membeli peralatan yang betul untuk keperluan anak pula.


Jadi, apakah peranan kerajaan, swasta dan ahli politik dalam menyelesaikan perkara ini. Setakat ini, saya hanya mendengar seorang ahli politik di Johor yang membuat program menderma komputer riba kepada penduduk kawasan pilihan rayanya. Saya juga mendengar  seorang ahli perniagaan dan penceramah agama yang sanggup membeli beberapa ratus tablet untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukannya. Bagaimana dengan pihak kerajaan? Adakah mereka akan membuat satu program untuk menyediakan komputer riba atau tablet kepada pelajar yang memerlukannya? Begitu juga dengan pihak yang menyediakan perkhidmatan Internet ini, adakah mereka akan membina lebih banyak penerima gelombang supaya perkhidmatan Internet lebih stabil. Apakah tindakan kecemasan mereka untuk kemudahan pendidikan negara sekarang? Namun, dalam keadaan ekonomi negara yang gawat dan ketidakpastian ancaman covid-19 ini, peluang untuk masalah ini diselesaikan nampak suram.


Mungkin itu kelemahan negara kita iaitu kita agak lambat bertindak atau kita hanya membiarkan sahaja masalah itu berlalu angin di tepi pantai. Kita hanya bertindak selepas masalah menjadi lebih besar. Semoga semua pihak terutama kerajaan mencari jalan segera untuk mengatasi kepincangan dalam penyediaan kelas online ini. Semua pihak baik guru, pelajar dan ibu bapa masih tercari-cari kaedah yang sesuai untuk memastikan pendidikan generasi muda ini tidak ketinggalan.


Atau mungkin lebih baik kita gunakan televisyen dan radio sebagai alat pembelajaran kerana hampir semua rakyat Malaysia sudah memiliki teknologi ini.


Fikirkan.

Saturday, January 16, 2021

Jadilah seperti air...


Air ialah keseimbangan. Itu sebab salah satu ungkapan terkenal  Bruce Lee ialah JADILAH SEPERTI AIR. Saya rasa ungkapan beliau ini menarik untuk kita bahaskan dalam ruangan ini.  Menarik kerana dalam suasana kehidupan yang penuh dengan pandemik, pengangguran, pemotongan gaji, dan stres yang pelbagai itu pastinya kesimbangan dalam hidup sesuatu yang penting dicapai oleh semua orang pada masa ini.


Air tidak melihat kiri dan kanan. Kita tidak perlu risau akan pandangan orang lain. Air hanya bergerak ke hadapan selagi dia mampu. Sememangnya air cuba berubah-ubah tetapi meneruskan perjalananan merupakan satu kemestian. Malah, ketika air tenang pun, unsur alam ini terus mampu untuk memusnahkan persekitarannya secara perlahan-lahan.


Walaupun tidak mempunyai bentuk yang tetap  dan kadangkala dikatakan lemah sebenarnya air merupakan salah satu unsur yang kuat di dunia ini. Unsur ini boleh mengalir dan membasahi serta membanjiri lalu memusnahkan apa-apa permukaan di depannya atau benda yang menghalang alirannya itu. Air dalam bentuk ombak tusnami mampu menenggelamkan kapal yang besar saiznya. Ringkasnya, air melakukan apa-apa sahaja yang perlu dilakukan untuk memastikan dirinya terus mengalir. 


Air juga sama ada kita sedari atau tidak akan kembali ke tempat asalnya walaupun sudah jauh merantau. Aliran air sungai akhirnya akan sampai di muara untuk bertemu semula dengan laut yang luas selepas sekian lama perjalanannya itu. Kita juga patut meniru kelakuan air ini iaitu meneruskan kehidupan. Pastikan diri mempunyai perancangan hidup tetapi usah memaksa diri dalam kehidupan untuk mencapai matlamat perancangan itu.


Hidup ini sukar untuk diramalkan. Kadangkala, pelbagai cabaran menimpa kehidupan kita sebagai manusia kerdil. Ada kalanya, peluang baharu muncul di depan. Jika kita meniru sikap air pastinya kita bersedia untuk menerima salah satu daripada perkara tadi dengan lebih terbuka. Sebarang perkara yang berlaku pada hari esok, kita hadapi dengan sedikit pengubahsuaian.


Apabila hidup ini meminta kita berhenti. Kita perlu mendengar lalu mematuhinya. Ambil laluan yang berbeza. Ubahsuai. Berubah dengan perlahan-lahan daripada jatuh menjunam ke bawah.


Apabila hidup ini mengatakan ya, kita teruskan. Turuni dengan penuh kepantasan. Bergerak bak sang pelari yang menuju ke garisan penamat. Melompat seperti kijang yang sudah banyak pengalamannya. Ambil peluang itu dan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.


Apabila krisis hidup melanda, cari kekuatan diri. Bentuk gelombang ombak yang besar meninggi itu sangat berguna. Apabila kehidupan kembali tenang, nikmati kenikmatan hidup bak meluncur di permukaan lautan yang tenang membiru itu. Apabila kita menjadi air, kita akan selalu sedar kepentingan hidup kita dalam dunia ini.


Jadi, ubah diri menjadi air, itu matlamat hidup saya.


Sunday, January 10, 2021

Pupuk minda menjadi kukuh supaya kehidupan menjadi lebih sempurna

Saya juga ada dan pernah mengajar pelajar. Ada pelajar saya berumur bawah 12 tahun dan ada pelajar saya berumur bawah 20 tahun. Malah, ada pelajar saya berumur antara 20an dan 30an. Saya melihat sendiri kesan kejayaan dan kegagalan yang berlaku terhadap seseorang pelajar itu. Pengalaman saya mengesahkan bahawa semuanya bermula dengan minda seseorang itu. Keperibadian seseorang itu ditentukan oleh bahan-bahan pemikiran yang disuapkan oleh ahli keluarga, kawan dan masyarakat serta diri sendiri.


Pemikiran dan sikap kita sendiri yang menentukan cara kita melihat kehidupan ini.


Kualiti kehidupan seseorang insan itu banyak ditentukan oleh kualiti buku-buku yang dibacanya ketika masa senggang. Kualiti insan-insan yang sering dihabiskan masa juga memainkan peranan dalam kualiti kehidupan manusia itu. Begitu juga dengan kualiti hubungan yang dijalinkan oleh seseorang dengan insan lain. Malah paling penting ialah kualiti pemahaman diri seseorang tentang realiti kehidupan semasa berdasarkan kekuatan mindanya.


Lantaran itu, kemampuan untuk meningkatkan kualiti minda seseorang akan turut menjadikan kualiti kehidupan diri menjadi lebih sempurna. Saya sering memberitahu pelajar saya bahawa kemampuan seseorang menyelesaikan masalah peperiksaan dan kehidupan bukan ditentukan oleh kebijaksanaan otak mereka tetapi banyak ditentukan oleh kemampuan atau kedudukan minda dan fizikal pelajar itu ketika menghadapi cabaran tersebut.


Minda yang berkualiti menjadi asas kepada satu kehidupan yang bermakna kerana setiap tindakan yang dilakukan akan membentuk pemikiran minda pada masa depan lalu kehidupan manusia menjadi penentunya. Namun, usaha untuk menukar atau memiliki minda yang berkualiti bukanlah satu proses yang mudah. Malah, lebih tepat lagi proses ini mengambil masa yang panjang. Semua usaha membentuk minda yang berkualiti memerlukan kemampuan insan itu untuk mengekalkan satu pemikiran yang terbuka. Konsep terbuka di sini bermaksud kemampuan mereka untuk mempersoalkan tanggapan dan prinsip diri seseorang itu apabila mengalami atau berhadapan dengan sesuatu perkara.


Kita boleh meningkatkan minda kita jika kita memilih untuk berbuat demikian tetapi jika kita terlalu cepat pula sudah pasti minda itu akan gagal berfungsi lalu kembali kepada keadaan sedia kala pula tanpa wujudnya sebarang perubahan positif yang hakiki.


Kualiti kehidupan menentukan kualiti minda manusia


Untuk memulakan proses menjadikan pemikiran minda seseorang berkualiti sudah pasti mereka perlu memulakannya dengan cuba menerima pandangan yang baharu, prinsip baharu, idea baharu, dan persepsi baharu yang sebelum ini sukar untuk diterima pula.


Apabila kita mendedahkan diri dengan pelbagai idea atau corak pemikiran sudah pasti pemahaman kita terhadap kehidupan menjadi lebih mendalam. Pada masa yang sama pemahaman tentang diri juga berubah tetapi menjadi lebih jelas. Kita boleh memulakan proses mengubah kualiti minda ini dengan membaca lebih banyak buku yang berkualiti terutama buku tentang kehidupan, tokoh, peristiwa sejarah dan sebagainya.


Apabila kita membawa buku berkualiti, mendengar podcast yang berkualiti, menonton filem berkualiti, mempelajari pemikiran tokoh-tokoh pemikir dan sebagainya akan membawa proses mengubah diri seseorang daripada tidak sempurna sebelum ini ke arah satu kesempurnaan pula. Semakin banyak kita mengalami semua perkara ini semakin berkualiti minda diri tersebut. Bahan bacaan seperti buku sering dikatakan bahan santapan minda yang sejati.


Kejayaan bermula daripada cara kita berfikir. Lantaran itu, kita perlu membentuk minda yang berkualiti kerana minda berkualiti inilah yang akan membentuk diri kita menjadi manusia yang lebih sempurna. Jika kita mampu mengubah minda menjadi lebih baik sudah pasti kita berupaya untuk mengubah apa-apa perkara yang berlaku dalam kehidupan nanti.


Jika kita tidak mampu mengubah pemikiran minda kita sudah pasti kita tidak akan mampu mengubah apa-apa dalam kehidupan itu


Kita perlu bersedia untuk berubah atau mengubah minda kita dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan sendiri. Sebarang sikap dan pemikiran yang tidak akan bersesuaian dengan kehidupan sendiri perlu dibuang jauh. Kenal pasti perkara ini terlebih dahulu kemudian kikisnya jauh-jauh. Gantikan perkara-perkara negatif ini dengan perkara positif yang boleh membantu kehidupan sendiri kerana kualiti sikap sendiri turut menentukan kualiti kehidupan manusia itu.


Pemikiran yang terhad atau cetek boleh menjejaskan perkembangan dan prestasi seseorang dalam kehidupan. Perubahan kecil dalam cara berfikir dan kemungkinan perubahan kecil dalam sikap seseorang akan memberi impak yang besar dalam usaha sesiapa sahaja yang mahu mempunyai kehidupan minda yang berkualiti itu kerana diri mereka sedar betapa pentingnya mempunyai satu kualiti kehidupan yang baik.


Jadi, mari kita ubah kualiti pemikiran minda kita semua.


Tuesday, January 5, 2021

2020 menghilang 2021 mula memunculkan dirinya


Sudah hampir seminggu Tahun 2021 menjengah kehidupan kita semua. Biasanya, saya akan duduk minum kopi di ruang dapur rumah saya melihat ke luar tingkap rumah. Ada sebatang pokok di belakang rumah saya yang menjadi tempat lepak sekawan burung. Mereka kelihatan cergas, aktif dan ceria berdasarkan aksi serta bunyi siulan itu. Hidup yang menarik dan menggembirakan agaknya.


Ketenangan jiwa saya itu diganggu oleh bunyian teknologi moden. Kedengaran bunyi mesej telefon bimbit saya berulang kali. Kenalan lama menghantar pesanan demi pesanan. Kebanyakan pesanannya berkisar kepada kehidupan kami pada masa dahulu di sebuah universiti di bangi. Pengalaman menghadiri kuliah, pengalaman menyertai ekspedisi dan sebagainya. Suasana ketika belajar di kampus mula bermain-main dalam minda saya itu.


Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mengenang semula kenangan atau peristiwa silam. Perasaan nostalgia itu memang penting dalam kehidupan manusia. Perasaan menghargai kenangan lalu, persahabatan dan sebagainya. Namun, jika kisah lama ini terus diceritakan setiap kali tahun baharu menjelang atau setiap kali pertemuan dengan rakan lama berlaku, pastinya perkara itu bukanlah sesuatu yang positif untuk diteruskan.


Mengapakah ada individu yang suka meluahkan perkara-perkara yang sudah berlaku suatu masa dahulu dalam hidup mereka? Mungkinkah mereka tidak gembira dengan situasi kehidupan mereka kini? Kemungkinan juga perkara lama yang berlaku itu benar-benar memberikan kegembiraan lalu lebih baik diulang-ulangkan kerana suasana kehidupan sekarang tidak membahagiakan diri. Ungkapan-ungkapan saya perlu atau saya seharusnya atau jika saya  merupakan antara bukti yang mengesahkan bahawa perbualan individu itu lebih banyak ke arah keceriaan masa Lalu Kerana hidup mereka tidak menggembirakan buat masa sekarang.


Saya melihat ungkapan-ungkapan ini sebagai satu tanda rasa bersalah atau berasa malu dengan diri. Semua ini tidak memberikan sebarang kesan positif kepada perkembangan diri seseorang itu. Adakalanya, perasaan bersalah ini boleh menjadi atau bertukar menjadi dendam pula. Kita semua sedia maklum bahawa tidak ada sebarang perkara baik muncul daripada konsep dendam itu.


Untuk keluar daripada konsep kehidupan lama ini, kita perlu sedar untuk membenarkan pemikiran rasional menguasai diri. Salah satu sebab kita selalu mengimbau perkara lalu kerana kita melihat tindakan lalu merupakan satu kesilapan. Kita semua membuat keputusan yang betul. Cuma keputusan yang kita buat itu berdasarkan maklumat dan pengetahuan yang kita ada atau peroleh pada masa tersebut. 


Kita tidak mempunyai bola ajaib untuk meramalkan dengan tepat perkara yang akan berlaku pada masa depan. Semua kesilapan masa lalu itu bukanlah satu KESILAPAN tetapi satu tindakan atau keputusan yang telah kita semua ambil. Peristiwa yang berlaku pada masa depan merupakan sesuatu yang kita tidak boleh kawal atau tentukan. Lantaran itu, kita tidak seharusnya menyalahkan keputusan lalu yang sudah lama berlaku jika kehidupan kita tidak berjalan dengan lancar.


Kita perlu mencari kedamaian dengan diri sendiri terutama keputusan-keputusan dahulu yang mungkin tidak memberikan sebarang impak positif dalam hidup. Kita kena sedar kemampuan dan kelebihan diri lalu berusaha untuk melihat masa depan dengan lebih baik. Kita berusaha untuk mencapai kejayaan masa depan. Kita tidak mahu menyalahkan diri atas perkara yang sudah lama berlaku itu. 


Jadi, mari kita lihat 2021 dengan hati yang terbuka tetapi penuh rasional dan bersedia menerima sesuatu yang baharu dalam kehidupan sendiri.

Sunday, January 3, 2021

JKR perlu minta maaf?

Tindakan JKR meminta maaf ekoran kejadian kemalangan yang menimpa salah seorang menteri yang sedang menunggang basikal telah mengundang pelbagai reaksi dan kompilasi video serta posting yang menarik, lucu, dan kreatif. Antara yang mendapat perhatian saya ialah foto seorang lelaki duduk berdoa di sebatang jalan raya yang berlubang. Kreativiti masyarakat Malaysia memang menarik sehingga menjadi bahan perbualan yang menarik sesama rakan-rakan.


Kejadian ini telah membuktikan beberapa perkara yang boleh menjadi perbualan masyarakat umum. Pertama, adakah proses membaik pulih jalan raya ini mengikut jadual? Kedua, adakah wujud jawatan pegawai JKR yang berperanan memeriksa setiap inci bahagian jalan raya di kawasan mereka umpama penjaga kualiti jalan raya? Berapakah tempoh masa pembaikan dilakukan setelah laporan kerosakan jalan dilaporkan? Adakah kualiti pembinaan jalan raya di negara ini terutama di laluan yang kurang sibuk itu mengikut piawaian yang ditetapkan? Begitu juga persoalan pembabitan rasuah pastinya turut bermain dalam minda Rakyat kerana kualiti jalan raya yang mudah rosak turut hinggap dalam minda mereka. Akhir sekali, persoalan konsep kepentingan penyelenggaraan dalam minda masyarakat terutama menyelenggara kemudahan awam yang amat penting kepada rakyat jelata itu.


Kemudahan awam di negara ini memang diakui amat membanggakan tetapi kualiti menjaga kemudahan awam ini pula amat memalukan. Konsep ini yang perlu ada dalam minda setiap masyarakat di Malaysia tetapi kejadian jalan berlubang di negara ini telah membuktikan bahawa konsep ini masih lagi belum diterima oleh masyarakat terutama pihak yang bertanggungjawab. Bangunan dibina dengan indah tetapi tidak sampai setahun sudah ada kerosakannya. Jalan raya dibina dengan baik tetapi isu jalan berlubang dibiarkan sehingga jalan menjadi rosak dengan mudah pula.


Kemungkinan punca utama yang menyebabkan banyak pihak memberikan komen kepada ciapan media sosial JKR ini disebabkan betapa pantasnya mereka meminta maaf atas kejadian yang menimpa menteri itu dan tindakan efisien mereka meratakan semula jalan raya yang berlubang itu. Masyarakat akan mula mempersoalkan kenapa tindakan pantas ini berlaku sedangkan kejadian jalan berlubang ini sudah lama berlaku dan menjadi isu di mana-mana kawasan jua. Pastinya banyak laporan telah dibuat tetapi kepantasan JKR bertindakan tidak selari dengan kepantasan mereka dalam kes jalan berlubang yang menimpa menteri tersebut. Ini persoalan utamanya. Persoalan adakah ada dua jenis layanan yang akan diberikan iaitu satu layanan VVIP kepada pihak tertentu dan layanan biasa kepada rakyat biasa.


Mungkin selepas ini JKR kena meminta maaf setiap kali ada kejadian kemalangan yang melibatkan jalan berlubang kerana saya yakin jika ada kes lain pastinya masyarakat akan menggunakan respons JKR ini dalam setiap komen mereka dalam media sosial kelak. Setiap kali kejadian jalan berlubang berlaku setiap kali itulah JKR akan menerima kesannya.Jalan


Padang atau perlawanan akhir lebih menarik?

Masalah Padang stadium yang tidak sempurna… Isu masalah padang sebuah stadium di negara ini masih menjadi bualan masyarakat walaupun sudah h...