Tuesday, August 31, 2021

Permainan video hadapi tekanan di China

China halang permainan video remaja


Tindakan China untuk menghalang individu di bawah umur 18 tahun untuk bermain permainan video lebih daripada satu jam telah mendapat perhatian masyarakat dunia. Larangan ini turut membenarkan permainan video ini pada hari-hari tertentu dan masa tertentu sahaja. Ada pihak memberikan contoh permainan video Honour of Kings yang dikeluarkan oleh Tencent itu boeh dimainkan oleh remaja sehingga lapan jam sehari. Kenapakah China melakukan tindakan ini dan bagaimanakan perkara ini hendak dikuatkuasakan?


Pengharaman ini mula difikirkan oleh beberapa pakar setelah beberapa media utama yang dikendalikan oleh kerajaan negara itu mengeluarkan pengumuman yang mengaitkan permainan video ini sebagai spiritual opium atau electronic drugs. Kita semua sedia maklum bahawa usaha mengaitkan istilah candu ini ada kaitan sejarah iaitu pada zaman dinasti Qing, banyak pihak penjajah seperti Britain dan Perancis telah menggunakan candu sebagai bahan eksport utama mereka ke China sehingga menyebabkan berlakunya peperangan yang menyaksikan China terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada Britain.


Perkara ini juga semakin menjadi topik hangat apabila ada laporan kajian yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan negara itu yang mengaitkan banyak remaja negara itu ketagih bermain permainan video ini lalu laporan itu meminta kerajaan mengambil tindakan tegas kepada syarikat-syarikat permainan online negara itu. China mahu lebih banyak masa dihabiskan dengan remaja melibatkan diri dalam permainan berbentuk realiti dan fizikal seperti bola sepak, bola keranjang, dan sebagainya itu.


Tindakan pengharaman bermain permainan video ini akan dilakukan oleh syarikat permainan online. Syarikat ini diwajibkan untuk mendaftarkan semua pelanggan mereka dengan menggunakan identiti sebenar. Pihak berkuasa negara itu juga telah memaklumkan bahawa mereka akan lebih kerap membuat pemeriksaan untuk memastikan syarikat permainan video mematuhi arahan ini.


Sejauh manakah langkah ini akan berkesan belum lagi dapat dipastikan tetapi satu perkara yang pasti ialah China apabila melakukan sesuatu akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan bukannya seperti sesetengah  negara yang hanya pandai berkata-kata retorik tanpa melakukan tindakan konkrit untuk kemajuan negara pada masa depan.


Monday, August 23, 2021

Yuan Digital satu cabaran baharu buat Amerika Syarikat?

 Yuan Digital satu cabaran baharu buat Amerika Syarikat?


Kemunculan wang digital China yang kini berada dalam proses percubaan di beberapa buah bandar besar di negara itu bakal menyaksikan pertembungan baharu dalam dunia ekonomi antara China dan Amerika Syarikat. Kedua-dua buah negara ini saling kena mengenakan satu sama lain terutama jika kita melihat rentetan peristiwa diplomatik yang berlaku antara mereka itu.


Kita semua sedia maklum bahawa China merupakan antara negara yang boleh dikatakan sudah menerima konsep masyarakat tanpa tunai. Perkara ini mampu dicapai ekoran kejayaan syarikat seperti Ant Group dan Tencent yang memperkenalkan konsep pembayaran digital yang menyeluruh dan menarik itu. Penduduka China dikatakan telah mula menerima pembayaran digital sebagai sebahagian daripada budaya baharu. Yuan Digital ini diwujudkan oleh Bank Pusat atau Bank Negara China yang kemudiannya akan diberikan kepada bank komersial lain untuk memastikan mata wang ini disebarkan kepada masyarakat umum untuk kegunaan harian.


Banyak pihak melihat tindakan ini sebagai usaha secara langsung China untuk mengekang perluasan pengaruh Amerika Syarikat terutama penggunaan Dolar dalam urusan ekonomi.Tindakan Amerika Syarikat mencetak lebih banyak wang untuk membantu ekonomi negara itu berkembang dan tindakan mengenakan sekatan terhadap syarikat Huawei dan pegawai kerajaan China yang terlibat dalam pentadbiran Hong Kong dan Xinjiang dilihat sebagai usaha menghapuskan pengaruh China di peringkat antarabangsa lalu kewujudan Yuan Digital ini akan menjadi satu pilihan lain selain Dolar yang sedang diusahakan oleh China secara perlahan-lahan. Kejayaan Yuan Digital ini akan hanya terbukti apabila tamatnya proses percubaan sistem ini di beberapa buah bandar di China dan juga penggunaannya oleh negara lain. 


Kita semua tahu kelebihan utama digital terutama bitcoin ialah kemampuannya untuk bergerak melintasi sempadan negara begitu mudah dan murah. Kemungkinan banyak negara terutama negara yang melihat penggunaan Dolar sebagai merugikan mereka dalam proses pertukaran mata wang asing akan menggunakan Yuan Digital sebagai satu bentuk pembayaran global yang baharu. Lama-kelamaan, situasi ini akan menjadikan dunia tidak lagi terlalu bergantung kepada Dolar untuk sebarang transaksi pembayaran.


Ada juga pihak yang melihat usaha menjadikan Yuan Digital ini sebagai satu usaha pihak berkuasa negara itu untuk menjadikan pihak bank lebih berdaya saing dalam bidang pembayaran digital kerana  sektor ini telah dikuasai oleh syarikat-syarikat gergasi Internet yang disebutkan tadi. Malah, ada juga pendapat yang mengaitkan usaha untuk memajukan Yuan Digital ini juga membuktikan bahawa negara itu begitu memandang serius usaha pengumpulan maklumat individu dalam kalangan syarikat gergasi Internet negara itu yak menyaksikan beberapa buah syarikat terpaksa menerima kesan perundangan yang agak ketat sehingga menyebabkan IPO dan keuntungan syarikat terjejas dengan teruk. Malah, seorang tokoh Internet negara itu telah dikatakan berdiam diri atau tidak kelihatan di khalayak ramai sejak syarikatnya menjadi sasaran kritikan pihak berkuasa China untuk mengawal usaha pengumpulan maklumat ini. 


Sebenarnya, sebarang usaha untuk mewujudkan Yuan Digital ini perlulah dilihat sebagai satu perubahan besar yang bakal melanda ekonomi dunia. Semua pihak baik Amerika Syarikat dan Malaysia perlu melihatnya secara strategik kerana jika usaha China ini berjaya sudah pasti pelbagai peluang baharu dalam pembayaran digital turut akan muncul lalu kepantasan Malaysia untuk sama-sama merebut peluang itu hendaklah dimulakan dari sekarang terutama selepas era pandemik yang menyaksikan banyak sektor ekonomi negara mengalami kemelesetan yang ketara.



Monday, August 9, 2021

Cara kita memilih pemimpin?

Malaysia dan sikap ahli politiknya…salah siapa?


Suasana yang berlaku di Parlimen pada dua minggu lalu sememangnya sesuatu yang mengejutkan kerana kita secara langsung boleh melihat kelakuan sebenar ahli parlimen yang dilantik oleh kita sebagai rakyat Malaysia itu. Sememangnya, kita yang mengundi untuk memilih mereka ini. Kita yang memangkah mereka ini lalu secara tidak langsung kita sebagai rakyat termasuklah diri saya sendiri memikul tanggungjawab atas kemelut yang melanda negara kerana kita sendiri yang memilih mereka ini tanpa paksaan untuk menjadi wakil dalam pemerintahan negara. Ya ada pihak akan menggunakan konsep kerajaan pintu belakang untuk menolak hujah ini tapi kita juga yang melantik mereka sebagai wakil rakyat kita ketika pilihan raya yang lalu. Jadi inilah kualiti yang kita terima.


Ada ahli parlimen yang ketika berbahas sanggup mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan kepada wakil yang lain. Ada wakil rakyat ini yang sanggup menganggu apabila ada wakil lain sedang membahaskan sesuatu. Ada juga wakil lain yang mengejek ketika ada rakan mereka sedang menjelaskan sesuatu perkara. Ada juga wakil yang tanpa segan silu mencelah pembentangan wakil lain tanpa memberitahu secara hormat. Ada juga ahli parlimen yang hanya berani bersuara dalam media sosial tetapi di dalam dewan senyap sunyi. Semua ini berlaku ketika Malaysia sering memberitahu orang luar bahawa kita terkenal dengan kesopanan yang tinggi.


Ada juga ahli parlimen yang tidak berani untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh rakan mereka yang lain. Ada juga wakil rakyat ini yang tidak mempunyai jawapan yang memuaskan apabila ditanya mengenai program-program untuk rakyat. Ada juga wakil ini yang terpaksa meminta tempoh yang lama untuk menjawab pertanyaan walaupun perkara itu perkara penting. Ada juga wakil yang tidak tahu cara untuk membentangkan tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh mereka sebagai pemimpin yang diberikan tanggungjawab itu. Malah, ada juga ahli parlimen ini berbahas seolah-olah mereka berbahas di peringkat sekolah pula. Semua ini berlaku ketika ahli parlimen ini diberi pelbagai ganjaran kewangan yang mencecah ribuan ringgit sedangkan rakyat biasa hidup dengan gaji yang jauh lebih rendah tetapi terpaksa bekerja keras.


Semuanya ini kemudiannya menjadi satu perbahasan hangat kerana keliru dengan tindakan pihak kerajaan untuk tidak membahaskan rang undang-undang yang diluluskan ketika darurat berlaku itu. Tindakan ini menyebabkan DYMM Agong sendiri berasa tidak senang sehingga terpaksa mengeluarkan titah baginda pula. Tindakan DYMM Agong ini membuktikan betapa seriusnya masalah yang melanda itu. Kemudian tunjuk perasaan ahli politik pembangkang pula berlaku. Kemudian satu demi satu sidang akhbar berlaku yang menyaksikan setiap pihak cuba membuktikan betapa ramainya ahli parlimen menyokong mereka. Pengumuman peletakkan jawatan menteri tertentu mula kedengaran yang turut menjadikan suasana politik semakin berkecamuk. Namun, keadaan masih serupa tanpa sebarang keputusan malah saya berpendapat situasi politik negara yang tidak stabil ini secara tidak langsung turut menjejaskan usaha untuk memerangi Covid-19 yang begitu meluas itu. Lihat sahaja angka harian jumlah pesakit Covid-19 itu, menakutkan.


Hujah saya bukankah Parlimen berfungsi untuk semua ahli parlimen berhujah tentang sesuatu isu yang berkepentingan umum. Ahli parlimen seharusnya menjawab semua pertanyaan rakan mereka dengan hujah yang betul bersama-sama data yang tepat dan penerangan yang menyakinkan. Mereka seharusnya bersedia untuk memberikan penjelasan dan bukannya berdiam diri atau membiarkan sahaja sesuatu pertanyaan dalam dewan itu.  Atau meminta tempoh untuk menjawab tindakan mereka itu kerana jika mereka sudah melakukannya maka sudah pasti mereka telah membuat perancangan yang mendalam pula. Mereka mempunyai pembantu-pembantu yang berkemahiran untuk memikirkan semua kemungkinan yang bakal berlaku.


Akibatnya negara terus menderita. Polemik pandemik yang melanda telah menyebabkan jutaan rakyat kehilangan atau terjejas sumber pendapatan mereka. Pengangguran sudah menjadi sesuatu yang lumrah. Pendidikan generasi muda di sekolah dan universiti turut terjejas walaupun ada pihak yang beranggapan pendekatan pengajian online mampu membantu. Kadar jangkitan pandemik yang tinggi dan angka kematian yang banyak terus berlaku seolah-olah tiada penghujungnya. Pada masa yang sama, ahli parlimen yang kita pilih itu terus bertikam lidah tanpa kesudahan pula kerana masing-masing mahu mempertahankan kedudukan mereka sahaja kerana dalam minda mereka diri mereka lebih penting berbanding rakyat biasa. Atau mereka berpendapat pandangan mereka sahaja betul? Tindakan “lockdown” yang panjang dan berkali-kali pula telah menyebabkan banyak rakyat tidak mempunyai sumber pendapatan lagi tetapi kadar jangkitan virus terus bertambah.


Hujah kedua sekarang ialah mengapakah kita terus menerima ahli parlimen yang sudah lama memegang jawatan mereka tanpa memberikan sebarang kebaikan kepada rakyat? Jawapannya mudah kerana kita sebagai rakyat enggan menggunakan minda secara objektif untuk memilih pemimpin yang betul. Kita harus bijak mengenal diri pemimpin itu. Kita harus peka menilai seseorang atas kemampuan diri mereka dan bukannya atas sebab yang lain. Kita harus membuka mata agar melihat dengan sendiri kemampuan orang yang akan kita pilih itu. Jika mereka mampu mengumpulkan harta yang begitu banyak dalam tempoh yang singkat sudah pasti sesuatu yang tidak betul sedang berlaku kerana walaupun gaji sebagai wakil rakyat memang banyak tetapi dalam tempoh empat tahun saya yakin wang gaji itu tidak mampu untuk membeli banglo dan kereta mewah yang begitu banyak. Persoalan cara mereka memperoleh wang atau mengumpul harta yang banyak dalam tempoh yang singkat itu harus ditanya oleh setiap rakyat tetapi kita semua enggan melakukannya.


Pada masa yang sama, pemimpin negara ini juga sudah masak dengan rakyat kerana mereka sedar rakyat akan lupa semua kesilapan mereka dan akan terus mengundi mereka. Beberapa kali pilihan raya yang berlaku telah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin yang kecoh dengan sesuatu isu itu akan terus dipilih oleh rakyat. Pemimpin-pemimpin negara ini sedar rakyat sendiri tidak berani untuk mengeluarkan atau tidak mengundi mereka walaupun pelbagai isu negatif yang melibatkan diri mereka telah berlaku. Mereka sedar kita sebagai rakyat sebelum ini tidak mahu mendengar penjelasan yang mendalam tentang sesuatu isu sekadar memberikan jawapan tidak tahu sahaja dalam sidang akhbar dan kekecohan itu akan berakhir tidak lama lagi. Penjelasan ala kadar sudah cukup untuk rakyat pada pandangan ahli parlimen ini. Rakyat seharusnya menuntut penjelasan yang panjang lebar, teliti, benar dan telus untuk setiap tindakan yang diambil oleh wakil rakyat mereka itu.


Kita harus melihat cara pemimpin luar negara dilayan oleh rakyat sesebuah negara lain itu lalu cuba mengubah suai dengan situasi tempatan pula. Lihat sahaja negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara Eropah yang tanpa segan silu membawa pemimpin mereka yang melakukan kesilapan ke muka pengadilan berasaskan prinsip perundangan negara. Salah tetap salah terutama kesalahan besar seperti rasuah, pembunuhan, penculikan, dan penyalahgunaan kuasa. Negara kita berbeza kerana rakyat biasa melakukan kesilapan terus dihukum tetapi pemimpin dan artis melakukan kesilapan pelbagai siasatan akan dilakukan yang memakan masa berbulan-bulan lalu kesilapan itu akan hilang ditelan zaman. Jika denda dikenakan pula jumlahnya begitu kecil kerana sumber kewangan golongan ini begitu banyak berbanding rakyat biasa lalu jumlah denda yang dikenakan tidak memberi kesan kepada golongan politik ini. Anehnya, rakyat biasa yang dibawa ke mahkamah siap dengan pakaian mahkamah dengan muka mereka tunduk ke bawah tetapi ahli politik ini boleh datang dengan pakaian yang bergaya dan iringan rombongan pengikut yang begitu ramai umpama pesta pula. Tidakkah kita berasa janggal dengan fenomena sebegini? Atau kita sebagai rakyat juga sudah menerima budaya yang tidak benar ini?


Kita harus memilih pemimpin yang sanggup bekerja untuk rakyat dan bukannya rakyat bekerja untuk mereka. Kita harus memilih pemimpin yang mempunyai pelbagai idea untuk membantu rakyat ketika kesukaran dan bukannya rakyat yang memberikan idea untuk membantu mereka sendiri pula. Kita harus memilih pemimpin yang sanggup berkorban untuk rakyat dan bukannya pemimpin yang menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk mengaut keuntungan peribadi sehingga boleh membeli berpuluh-puluh rumah banglo dan menayangkan kereta mewah mereka itu dalam media sosial lalu meminta rakyat supaya bekerja keras dan tidak malas dalam kehidupan ini. Kita harus memilih pemimpin yang muda, berkebolehan, berpendidikan tinggi dan kreatif serta mahu bekerja sebagai wakil rakyat pada masa depan. Jika pemimpin muda ini juga kemudiannya bertukar menjadi pemimpin era lama pastinya mereka juga boleh ditukar dengan individu lain menerusi proses pilihan raya.


Usahlah kita memilih pemimpin yang sudah tua dan tidak mempunyai kemahiran kecuali kemahiran berjanji dan berjanji sahaja serta mengeluarkan kenyataan yang tidak berfaedah tetapi melambangkan ketumpulan minda mereka tanpa berani mengambil tindakan drastik untuk kebajikan rakyat kerana kalau kita silap memilih lagi rakyat dan negara ini akan terus menderita untuk satu tempoh yang panjang. Namun, buat saya saya pula (yang sedang meniti hari tuanya) negara sedang berada dalam situasi yang amat membimbangkan jika ahli politik negara ini masih enggan mencari jalan penyelesaian yang rasional, positif dan muktamad demi kebaikan rakyat serta negara. 


Kita perlu berubah dalam cara memilih pemimpin itu.

Friday, July 16, 2021

Psikologi rakyat mula terjejas

Peristiwa dua pelajar sebuah universiti meninggal dunia baru-baru ini pasti memberikan satu kejutan kepada semua terutama ketika negara sedang dilanda pandemik ini. Ada laporan akhbar yang mengaitkan kematian ini dengan tekanan atau stres yang dihadapi oleh pelajar ketika mengharungi cabaran di universiti itu. Saya sendiri tidak pasti setakat mana kebenaran laporan akhbar itu namun saya boleh akui bahawa kehidupan sebagai pelajar kadangkala bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Berita ini kemudiannya ditambah pula dengan berita kematian seorang insan yang bekerja sebagai guru bersendirian di rumahnya. 


Pada masa yang sama, saya tertarik untuk menarik perhatian pembaca tentang impak yang ditimbulkan oleh pandemik ini terutama kesan PKP yang dikenakan itu. Ketika pihak berkuasa berpendapat bahawa PKP ini boleh menghalang penularan wabak itu (walaupun angka terus meningkat dan kehidupan masyarakat semakin terjejas kerana ketiadaan sumber pendapatan), saya berasa banyak masyarakat kita sudah tertekan habis. Mereka tertekan disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan semua pihak termasuklah pemimpin negara.


Ada pemimpin dan artis sewenangnya melakukan perkara di luar SOP tetapi didenda dengan kadar yang mampu dibayar oleh mereka. Itu pun setelah berbulan-bulan siasatan dilakukan. Manakala, rakyat biasa terus disaman pada masa itu tanpa perlu ada siasatan dan hanya diminta pergi membuat rayuan jika berasakan saman itu terlalu mahal. Bayangkan saman yang mencecah ribuan ringgit itu pastinya sukar dibayar oleh insan biasa yang sudah berbulan-bulan tidak boleh keluar mencari nafkah. Pastinya banyak pihak berasa marah dan tidak gembira atas semua yang berlaku ini.


Sekarang, bayangkan setelah duduk di rumah atau bilik berbulan-bulan pastinya persepsi masyarakat tentang kehidupan berubah. Ada yang mengeluh mengenai sukarnya untuk menyara kehidupan diri dan keluarga. Ada yang tertekan kerana tidak boleh keluar dari rumah terutama jika mereka tinggal dalam rumah yang kecil dan banyak penghuninya. Ada juga yang terpaksa mencuri terutama keperluan makanan kerana sudah tidak mempunyai simpanan yang mampu menampung kehidupan. Malah, ada juga yang melihat kehidupan mereka tidak bererti lagi.


Secara peribadi, saya berpendapat manusia apabila duduk terkongkong akan menyebabkan minda mereka bergelumang dengan pelbagai tanggapan negatif yang boleh memudaratkan tahap kesihatan diri pula. Itu sebabnya kita selalu menasihati rakan yang bermasalah supaya keluar dari rumah atau pergi menenangkan fikiran apabila fikiran mereka buntu. Namun, dalam suasana PKP yang menghalang pergerakan masyarakat pastinya perkara ini tidak boleh dilaksanakan pula. Bayangkan situasi ini berlaku berbulan-bulan. Pasti ada kesannya. Pasti ada impaknya.


Masalah kesihatan mental terutama aspek psikologi masyarakat perlulah diberikan penekanan oleh kerajaan dalam tempoh terdekat ini. Saya yakin jika perkara ini masih tidak diberi perhatian sudah pasti kita akan melihat lebih banyak perkara-perkara ganjil dalam kalangan masyarakat. KIta harus sedar bukan semua insan mempunyai kemampuan berfikir dan bersikap positif yang serupa. Bukan semua insan mempunyai sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan. Bukan semua insan mempunyai pekerjaan yang terjamin dan simpanan wang yang cukup untuk hari-hari mendatang ini. Ketika memikirkan semua kemelut ini lah mental seseorang itu akan mula terjejas dengan teruknya.


Kadangkala saya terfikir ke manakah perginya bantuan kerajaan yang berbilion-bilion itu? Tidak adakah sebarang program yang boleh membantu rakyat yang menghadapi tekanan mental yang ketara ini?

Friday, July 2, 2021

Kisah bendera putih

Bendera putih


Banyak pihak menyuarakan pandangan mereka tentang konsep Bendera Putih yang diuar-uarkan dalam media sosial itu. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Ada yang melihat secara negatif dan ada yang melihatnya ssesuatu yang positif. Saya secara peribadi melihat kemunculan bendera ini sebagai positif. Kenapa?


Pertama, menyedarkan saya bahawa bendera putih ini sebagai satu bentuk atau jalan buat rakyat Malaysia yang sedang buntu dilanda kemelut pandemik ini baik disebabkan kekurangan wang, makanan dan sebagainya. Kemunculan bendera ini juga menjadi sokongan dan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap rakan atau jiran mereka yang bermasalah. Sesiapa sahaja yang bermasalah boleh mengibarkan bendera putih lalu sesiapa sahaja yang melihatnya boleh menghulurkan bantuan tanpa banyak kerenah birokrasi itu. Dalam suasana pandemik ini, saya yakin banyak orang dan ahli keluarga yang tertekan hidupnya lalu bendera putih satu jalan penyelesaian yang baik. Kita tolong sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan keturunan serta agama.


Kedua, kemunculan bendera ini menyedarkan saya betapa seriusnya penyakit mental yang sedang melanda masyarakat. Jika paparan media sosial yang saya lihat betul sudah jelas kadar penyakit mental di Malaysia naik secara mendadak itu. Tekanan mental berlaku kerana pandemik membawa munculnya kemelut pengangguran, kemelut hutang dan kemelut peribadi serta sebagainya yang sememangnya boleh menghakis keyakinan sesiapa sahaja itu. Bendera Putih seolah-olah memberikan satu peluang kepada sesiapa sahaja di luar sana yang sedang bergelumang dengan masalah untuk mencari kaedah keluar daripada masalah mereka. Sekurang-kurangnya bendera ini memberikan satu harapan kepada mereka bahawa masih ada sinar dalam hidup ini.


Ketiga, konsep bendera putih ini menyedarkan saya betapa teruknya sistem ekonomi negara kita yang dilanda pandemik ini. Sistem ekonomi yang dimajukan sejak berdekad lamanya dimusnahkan oleh virus dalam setahun dua sahaja. Kira sahaja jumlah syarikat dan kilang serta hotel yang terpaksa ditutup gara-gara pandemik ini, pastinya jumlahnya banyak. Kita perlu melihat semula sistem ekonomi negara ini selepas ini kerana jika pandemik ini berterusan pasti kita tidak akan terlepas lagi. Satu perubahan drastik diperlukan dalam merangka ekonomi negara selaras dengan impak yang berlaku itu. 


Keempat, kemunculan bendera putih ini juga menyedarkan saya tentang kegagalan beberapa ahli politik kita melaksanakan tugas mereka. Amalan mengibarkan bendera putih menandakan seseorang itu tidak mempunyai makan minum dan wang untuk keperluan harian tetapi ahli politik kita terus menayangkan jamuan demi jamuan, makanan demi makanan, rumah besar demi rumah besar,  dan kereta besar serta jam berjenama yang pastinya boleh menampung makan minum untuk beberapa ahli keluarga yang mengibarkan bendera putih ini dalam sebulan dua. Mereka gagal kerana terlalu banyak birokrasi. Banyak syarat yang perlu dipenuhi sebelum layak menerima bantuan ketika ada anak isteri kebuluran di rumah. Ada Ahli politik ini gagal kerana terlalu mementingkan pihak mana yang perlu dibantu dan pihak mana yang boleh dilewatkan bantuan. Bukanlah ahli politik yang mewakili rakyat itu wajib membantu rakyatnya sendiri dahulu?


Kelima, bendera ini menyedarkan saya bahawa masih ada ahli masyarakat Malaysia yang mengutamakan konsep kemanusiaan sebenar.  Negara ini masih wujud rakyat yang mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi kerana rela membantu sesiapa sahaja yang mengibarkan bendera putih itu. Masih ada syarikat yang membantu, masih ada kedai makan yang turut serta, masih ada pihak yang berusaha supaya tidak ada insan yang terpinggir dalam meneruskan kehidupan mereka pada zaman pandemik ini. Prasangka buruk tidak wujud kerana kita semua sedar bukan mudah untuk seseorang itu meminta bantuan daripada orang lain melainkan mereka sudah keputusan idea untuk memulihkan kehidupan sendiri itu pula.


Semua  sebab yang dihuraikan tadi telah menyebabkan masyarakat mengasaskan bendera putih ini. Bendera yang menjadi lambang sesebuah negara dan pertubuhan telah digunakan secara kreatif oleh masyarakat untuk meluahkan perasaan mereka terhadap kualiti kehidupan masyarakat sekarang. Bendera putih bukan bermaksud mereka mudah mengaku kalah tetapi mengibarkan bendera putih merujuk wujudnya sikap bantu membantu dalam masyarakat Malaysia walaupun pandemik ini telah menyusahkan semua lapisan masyarakat. Buat mereka yang telah dan akan menghulurkan bantuan sekalung tahniah dan terima kasih dipanjangkan kepada mereka.


Bendera putih harus diteruskan kerana semua orang berhak dibantu.

Tuesday, June 22, 2021

Kita perlu buat sesuatu apabila dilanda masalah

Cara selesaikan masalah? Buat sesuatu


Suatu masa dahulu, saya ada seorang pelajar yang menyertai kelas penulisan saya yang tidak tahu menulis  lalu saya berkata kepada, “Jika anda ada masalah, jangan duduk termenung sahaja tetapi fikirkan masalah itu dan kemudian cuba selesaikan walaupun anda tidak tahu menulis tetapi sikap cuba menulis sesuatu itu akhirnya akan memberikan satu idea kepada anda nanti.” Itulah nasihat saya kepadanya.


Kini, dia sudah berjaya. Dia mempunyai kelayakan universiti dan pekerjaan yang baik jika saya melihat ke arah keretanya yang besar dan berwarna biru muda itu. Lambang BMW yang menonjol tertera sekaligus menarik perhatian orang yang lalu-lalang di kawasan tersebut. Semua orang suka kereta berjenama mahal.


“Boss, saya masih ingat kata-kata boss dalam kelas penulisan itu,” katanya sambil menghirup secawan kopi pahit yang dipesannya sebentar tadi. Dia memang suka memanggil saya dengan panggilan boss (walaupun saya BUKAN boss). Telefon bimbit yang berjenama terkenal turut diletakkan di atas meja di hadapan saya. Telefon itu jauh lebih menarik berbanding telefon lama di poket seluar saya itu. Saya mengangguk-angguk sahaja kerana secara jujur saya tidak pasti kata-kata mana yang dirujuk olehnya itu. Raut wajah insan di depan ini penuh dengan senyuman yang seolah-olah melambangkan kepuasan yang dialami dalam kehidupannya kini.


“Kata-kata itu sudah menjadi tangkal kepada saya setiap kali saya ada masalah,” ujarnya dengan penuh kesungguhan. “Boss kata, jangan duduk sahaja. Buat sesuatu. Jawapannya akan muncul kemudian,” tambahnya dengan penuh semangat. Kali ini kata-kata itu menyebabkan saya mengimbau kenangan bersama-sama lelaki dewasa ini di dalam kelas itu beberapa tahun lalu.


Sebenarnya, banyak daripada kita lupa bahawa tindakan melakukan sesuatu bukanlah kesan daripada sesuatu motivasi itu tetapi tindakan itulah yang menyebabkan motivasi berlaku. Apabila kita menghadapai masalah kita perlu melakukan sesuatu. Apa-apa tindakan pun kerana sikap berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku. Mungkin tindakan keluar dari rumah atau menelefon rakan akan memberikan idea untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Namun, sikap duduk diam tidak akan memberikan apa-apa melainkan kita duduk diam memikirkan sesuatu. Itu juga bermakna kita sedang melakukan sesuatu tindakan.


Banyak daripada kita hanya melakukan sesuatu apabila kita mempunyai tahap motivasi tertentu untuk membuatnya. Kita selalu beranggapan bahawa motivasi itu akan hanya berlaku apabila wujudnya inspirasi dalam bentuk emosi yang cukup banyak kerana tanggapan kita sebenarnya salah. Maksud saya kita beranggapan inspirasi yang berunsurkan emosi akan menghasilkan motivasi dan motivasi akan menghasilkan sesuatu tindakan.


(Inspirasi emosi menghasilkan motivasi lalu membawa sesuatu tindakan berlaku).


Namun, pandangan saya konsep motivasi di atas adalah tidak benar. Motivasi bukanlah sesuatu yang bersifat selari sahaja tetapi motivasi itu sebenarnya berlaku dalam satu pusingan yang lebih besar. Maksud saya inspirasi emosi akan menghasilkan motivasi lalu membawa berlakunya sesuatu tindakan dan tindakan ini menghasilkan inspirasi emosi semula lalu membawa berlakunya motivasi lagi serta menghasilkan tindakan seterusnya.


(Inspirasi emosi menghasilkan motivasi lalu membawa sesuatu tindakan berlaku lalu membawa inspirasi emosi dan motivasi serta tindakan berlaku semua).


Setiap pagi saya akan menghabiskan satu tempoh masa sekitar 20-30 minit untuk menaip. Kadangkala perkara yang saya taipkan itu tiada kaitan dengan apa-apa projek penulisan yang sedang saya usahakan tetapi ini maksud saya tadi bahawa sebarang tindakan menaip yang saya lakukan itu pastinya akan memberikan satu sumber inspirasi atau idea atau lonjakan untuk melakukan sesuatu pula kemudian nanti.


Jadi, pembaca yang memahami konsep ini akan setuju bahawa tindakan menghasilkan inspirasi emosi yang akan membawa berlakunya motivasi diri. Jika anda berasa kurang motivasi untuk melakukan perubahan dalam hidup anda, cuba lakukan sesuatu - apa-apa sahaja untuk menggunakan hasil tindakan itu menjadi perkara yang boleh memberikan motivasi kepada diri anda nanti.


Sikap melakukan sesuatu apabila menghadapi masalah merupakan satu langkah yang mudah. Apabila anda berada dalam sesuatu masalah cuba buat sesuatu tindakan. Kemungkinan idea yang dilakukan itu boleh menyelesaikan sebahagian daripada masalah dan kemungkinan juga tidak tetapi yang penting di sini ialah anda berusaha untuk menyelesaikannya. Penting di sini anda mempunyai tapak untuk melakukan satu tindakan yang akan memberikan impak terhadap masalah anda itu.


Ringkasnya, kita semua boleh menjadi sumber inspirasi tersebut. Kita semua boleh menjadi sumber motivasi itu. Tindakan untuk mencapainya merupakan sesuatu yang boleh dijangkau oleh setiap insan di dunia ini. Hanya berbekalkan satu tindakan mudah melakukan sesuatu sahaja boleh menjadi kayu pengukur kejayaan dalam kehidupan seseorang itu. Anda hanya perlu BUAT sahaja.

Monday, June 14, 2021

Kita perlu menilai diri sendiri lebih baik...itu penting

Nilaikan diri sendiri dengan lebih baik


Pernah suatu ketika saya sedang berhadapan dengan berpuluh-puluh remaja yang baru sahaja menamatkan persekolahan mereka. Saya diminta untuk memberi ceramah mengenai masa depan kerjaya yang bakal mereka hadapi. Rata-rata mereka ini tidak memahami betapa besarnya cabaran di luar sama yang jauh berbeza daripada layanan indah ibu bapa dan guru-guru mereka itu. Semua mata memandang ke arah saya yang berdiri di atas pentas sambil memegang sekeping wang kertas bernilai RM50.


“Siapa mahu wang kertas RM50 ini?” Cabar saya kepada semua yang hadir. Sememangnya sesuatu yang tidak mengejutkan bahawa hampir semua yang ada di dalam dewan itu terus mengangkat tangan mereka sambil tersenyum.  Dua tiga orang menjerit ke arah saya agar memberi mereka wang itu. Mungkin mereka cuba menduga penceramah tua ini agaknya.


Saya melipat-lipat wang kertas itu menjadi kecil lalu membalingnya ke atas pentas sebelum mengutipnya semula dan mempamerkannya kepada semua dengan pertanyaan yang serupa seperti awal tadi. Saya menunggu jawapan mereka. Semuanya memberikan jawapan yang serupa. Masih banyak yang mengangkat tangannya tanda masih rela untuk menerima wang itu walaupun sudah teruk keadaannya dan dibaling ke pentas. Nampaknya remaja memang menghargai wang kertas.


Nafas panjang saya lepaskan. Kemudian berjalan lebih dekat ke arah tepi pentas. Kali ini, saya membaling wang itu ke atas lantai sambil mencurahkan air botol ke arahnya. Saya menanyakan soalan yang serupa dan masih ramai yang terus meminat untuk memiliki wang kertas itu. “Anda semua mahukan wang kertas ini walaupun sedar sudah beberapa kali saya memijak dan membuangnya. Kamu semua memilih untuk mendapatkan wang ini kerana nilai wang ini tidak jatuh walaupun saya sudah melipat dan menggulungnya beberapa kali sebelum memijaknya.” Kata-kata itu membuatkan beberapa remaja yang ada mula berfikir sejenak. Mereka mula memahami tujuan saya melakukan adegan itu tadi. Suasana dewan benar-benar sunyi.


Dalam hidup ini kita seharusnya menilai diri sendiri lebih baik atau lebih tinggi daripada tanggapan orang lain walaupun hidup kita dilanda pelbagai masalah dan cabaran yang memeritkan jiwa. Kita semua hendaklah percaya akan kerja keras yang diperlukan untuk mencapai sesuatu dalam hidup. Kita perlu menilai diri sendiri lebih baik walaupun hidup kita tidak sempurna atau mengalami kegagalan demi kegagalan kerana kita semua boleh melihat betapa wang kertas RM50 yang dipijak dan dilipat serta digulung beberapa kali itu masih terus dihargai oleh manusia kerana walaupun bentuknya sudah sedikit berbeza tetapi nilai yang ada pada wang kertas itu tetap sama iaitu nilai yang amat dihargai oleh manusia sejagat.


Mungkin kita semua perlu menjadi seperti sehelai wang kertas RM50 kerana diri manusia yang paling berharga ialah nilai dirinya.

Mengapa Kemarahan Cepat Padam? Pengajaran daripada Isu Tabung Haji

Mengapa Kemarahan Cepat Padam? Pengajaran daripada Isu Tabung Haji Tabung Haji bukan sekadar institusi kewangan. Ia ialah simbol amanah juta...